Photobucket

Monday, December 20, 2010

Memilih jalan hidup

Lama tidak bersua, wahai blog. Sedang sibuk melayan aktiviti yang padat, Alhamdulillah sempat sekali sekala mendengar dan membaca bahan ilmiah untuk bekalan. Terima kasih wahai teknologi yang semakin maju, menyenangkan hidup. Kalau dulu manusia hanya mampu buat sikit, sekarang mampu buat banyak. Kapasiti diri manusia rupanya begitu diluar jangkaan.

Banyak cerita mahu dikongsikan. Ada seribu macam terbuku dalam diri. Dari cerita sang kancil menipu buaya.. hingga cerita tentang kawan, cerita tentang keluarga, cerita tentang remaja..

Perkara pertama tentang hidup adalah mengurus sumber dan data. Sebelum menjadi suatu yang berguna dan senang dicerna jadi input bernilai, pastikan hidup bersistem. Dja pada hari pertama minggu ni…. muhasabah diri dan mengurus kembali apa yang tak tersusun.

Buat suami, maafkan jika terdapat salah silap dan kekurangan sepanjang dja jadi isterimu. Percaya atau tidak dah lama bahtera kita belayar. Moga hati ini terus bersyukur dan kita tak penat berusaha untuk membuat yang terbaik.

Buat kawan, jika kita telah membuat apa yang terbaik dan persahabatan kita mendekatkan kita kepada jalan Allah swt.. maka tiada kekesalan yang kita simpan. Perpisahan takkan mengubah nilai sedikit masa kita kongsi bersama. Kerana dalam ingatan dan doa kita doakan masing-masing yang terbaik. Bukan begitu sentiasa kita saling berpesan? Dan berpesan untuk bersabar.. dan berpesan untuk berusaha.. terima kasih. Teman yang baik, kehilanganmu pasti akan dirasai namun begitulah resmi hidup. Sedikit saja sudah cukup. Sekejap saja sudah berbaloi berbanding tiada langsung. Dan kita memilih untuk bersyukur dan redha. Bukankah katamu balaslah dengan kebaikan.. aku yakin kita berfikir yang sama.

Perpisahan takkan mengubah hakikat pertemuan. 3 minggu bersama anak-anak remaja yang sedang mencari diri, mengubah persepsi hidup dja. Betapa nyawa dan hidup adalah anugerah yang bernilai. Dan betapa perjalanan hidup itu penting berbanding dengan pencapaian. A journey is worth more than the destination. Maka manusia semasa kamu sedang mengejar citamu, sentiasalah jadikan pengalaman suatu yang berharga. Belajarlah, hayatilah dan muhasabahlah.. dengan kesyukuran kamu akan jadi berharga umpama berlian dari lombong arang. Tak semua arang akan menjadi berlian, ada yang sekadar menjadi grafit diguna untuk mata pensil.. namun jika hidup mengujimu dengan payah dan sukar, bersyukurlah kerana kamu diuji untuk menjadi lebih berharga.

Yup! Berharga. Nilai diri kita adalah di tangan kita sendiri. Ada manusia yang melalui jalan sukar dan hina sebelum diberi peluang menjadi berharga. Ada yang melalui jalan yang sukar namun tak belajar apa-apa, semua pengalaman tak dihayati dan gagal dicerna dengan baik.. hanya kerana minda yang negatif dan tak bersyukur. Begitu juga sekiranya hati yang riak dan kotor, maka kemampuan untuk mencerna kehidupan jadi ilmu bermanfaat akan gagal. Semua yang berlalu akan jadi sampah, beku dan beban. Sedang jika sebaliknya, penyesalan dan kesyukuran menjadikan hidup lebih terarah dan bermatlamat.

Bergaullah dengan mereka yang berfikiran positif. Jiwa negatif di sekitar hidup kita akan menyebabkan kaki yang lemah tersadung. Jiwa yang negatif disamping kita menyebabkan hati terluka dan lemah. Berjalan dengan positif ke depan. Namun yang lebih penting adalah diri sendiri, minda kita, fikiran kita dan tindak tanduk serta percakapan kita sendiri perlu positif. Kekuatan dari dalam diri, akan menggembirakan dan menjadikan sekitaran ibadah kita selesa. Fokus pada diri untuk mencapai kejayaan, moga mampu memberi balik pada makhluk lain.

Usai saja program, anak-anak tersenyum lebar. ‘Kasihannya anak-anakku.’ Dalam hati terngiang suara sendiri meminta maaf kerana kesibukan yang memakan masa bersama mereka. Anak-anak ibu sungguh memahami. Masih kecil namun tidak merungut. Ibu pastikan kamu dapat yang terbaik. Kerana nilai kamu sentiasa tinggi dan melebihi nilai kerjaya ibu. Ah, comelnya bila kamu senyum. Walau sedikit masa ibu luang untuk kamu, ibu mahu ia berkualiti. Dalam Islam, kualiti lebih penting dari kuantiti.

Isteri terbaik

Suatu hari temanku berbual denganku mengenai Siti Khadijah ra. Kami bukanlah ahli ugama. Kami juga bukan cendekiawan agama.. namun kami sepakat bahawa perkara sunnah, peribadi Rasulullah saw dan sahabat adalah contoh ikutan yang akan menjadikan dunia suatu tempat yang indah.

Bagi aku sendiri, aku tak layak walau sedikit jika nak bandingkan diri dengan ummu mukminin. Apatah lagi sehebat Siti Khadijah ra. Bagi seorang isteri, hanya suami insan yang bertakhta dan paling penting. Celakalah bagiku jika ada insan lain yang mengganggu nilai suamiku pada mataku.

Aku juga melakukan kesilapan. Ada kalanya aku tak sabar.. dan aku memohon maaf kembali ‘maafkan za..’ Aku takut suamiku tidak redha denganku.

Aku ulang kali menyatakan padanya hanya dia yang terpenting bagiku. Setulus hati, aku tak betah melihat walau satu garis kerisauan dan kesedihan pada wajahnya. ‘Maafkan za..’ Aku tak mahu dia bersedih keranaku.

Aku tak mampu menahan jiwa melihat dia kesusahan. ‘Maafkan Za..’ Aku tahu kebanyakan masa aku tak mampu membantu. Namun aku ulang juga memintanya sandarkan kepala dibahuku.

Siti Khadijah ra? Wanita yang sempurna. Isteri yang terbaik. Umpama langit dan bumi denganku. Mulai saat ini aku mahu berusaha menjadi isteri yang selalu redha dan sabar. Moga aku mendapat tempat yang baik di sisi Allah swt kelak.

No comments:

Post a Comment